(BM) Syarikat 'startup' perlukan komitmen tinggi, mampu berdikari
SHAH ALAM - Mana-mana individu yang mahu menubuhkan atau menyertai syarikat pemula 'startup' perlu memastikan mereka bersedia sepenuhnya dalam pelbagai aspek.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Moovby, Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamal berkata, ini kerana untuk memulakan syarikat startup memerlukan komitmen yang tinggi serta kemampuan untuk berfikir dan berdikari.
Beliau berkata, jika seseorang itu lebih gemar meluangkan masa untuk bercuti bersama kawan-kawan seperti melancong atau hiking dalam tempoh lama, jelas mereka tidak bersedia untuk memberikan komitmen terhadap idea penubuhan 'startup' ini.
"Untuk menjayakan syarikat 'startup', seseorang itu perlu bekerja sepanjang masa sekurang-kurangnya 18 jam sehari untuk tempoh dua ke tiga tahun dan jika tiada komitmen untuk itu, anda tidak patut teruskan hasrat tersebut.
"Selain itu, anda perlu tahu berdikari dan tidak boleh mengharapkan bantuan orang lain untuk memberitahu apa yang perlu dilakukan seterusnya.
"Sebaliknya anda perlu menentukan sendiri apa yang perlu dilakukan dan boleh membantu majikan atau rakan sekerja tentang idea atau apa yang perlu dilakukan untuk memajukan syarikat 'startup' itu sendiri," katanya pada Webinar Bisnes&Usahawan Era Digital dan Covid yang disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom pada Ahad.
Webinar itu turut menampilkan lima lagi panel pembentang dan forum lain antaranya Pengarah Urusan Elzar Group, Dr Zaharudin Abdul Rahman, Pengerusi yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub serta Pengasas Rangkaian MyDental Care Clinics dan MyKids Dental, Dr Aslan Bacho.
Nik Muhammad Amin berkata, selain itu sikap ketidaktentuan atau ragu-ragu juga boleh mengganggu mereka yang ingin menubuhkan atau menyertai syarikat 'startup'.
Sebagai contoh katanya, jika seseorang itu mengambil masa terlalu lama untuk membuat sesuatu keputusan atau tindakan seterusnya, ia akan memberi masalah kerana syarikat pemula biasanya berdepan pelbagai isu yang tidak diketahui pada setiap hari dan perlu menyelesaikannya.
"Susah untuk memastikan syarikat pemula bertahan lama jika tidak bersungguh-sungguh dan kalau anda hanya bercita-cita untuk menjadi 'bos' ia adalah mentaliti yang salah.
"Ini kerana pada akhirnya kita perlu memberi perkhidmatan kepada pelanggan, kena jadi pekerja kepada staf untuk ajar mereka satu persatu," katanya.
Nik Muhammad Amin berkata, yang terakhir keinginan untuk menjadi kaya juga tidak boleh dijadikan sebab untuk memulakan syarikat startup.
Katanya, jika itu sasaran utama, ia dilihat hanya akan memberi masalah di kemudian hari.
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf